Telegram Web
JOM PUASA SUNAT

"Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya bulan Ramadhan, sejahterakanlah Ramadhan itu bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)."

Bulan Syaaban adalah bulan penuh keberkatan dan peluang terbaik untuk memperbanyakkan puasa sunat sebagai persiapan menyambut Ramadhan 1446H. Jom manfaatkan bulan ini dengan amalan soleh dan doa agar kita diberi kekuatan untuk bertemu dengan bulan penuh rahmat. 🌙

@bicaradaie

#JomPuasaSunat #Syaaban1446H #PersediaanRamadhan #BicaraDaie
Pengenalan Puasa & Istilah Penamaan “ Ramadhan”

Puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu.

Dari segi istilah pula menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dimulakan dengan niat berpuasa, kerana mengharapkan keredaan Allah.

Seperti umum mengetahui seperti yang disyariatkan di dalam al-Quran & al-Hadith tentang kewajipan berpuasa bagi umat Islam iaitu pada bulan Ramadhan. Mari kita menyingkap dahulu latar belakang disebalik penamaan “ Ramadhan” itu sendiri.

Qawaid bagi istilah penamaan bulan-bulan Islam terdahulu diambil daripada bahasa yang lama kemudian disesuaikannya mengikut zaman dan masa tertentu. Begitulah juga yang terpakai dalam penukilan nama Ramadhan itu sendiri. “ Ramadhan” bermaksud panas terik matahari bertepatan dengan keadaan pada waktu itu dimana berlakunya kepanasan terik matahari pada bulan tersebut lalu terbitlah nama “ Ramadhan” disesuaikan dengan keadaan semasa ketika itu.

Namun begitu, terdapat juga pendapat ulama’ yang menafsirkan penamaan “ Ramadhan” sebagai istilah dengan maknanya tersendiri. Sebagai contoh, Syeikh al-Sya’rawi berkata: “ Ramadhan menunjukkan kepada kepanasan dalaman bagi manusia”. Ulama’ menukilkan dengan memindahkan makna hissi tersebut kepada maknawi yang tidak dibaca dan difahami secara literal semata

“ Orang yang berpuasa akan diampunkan dosa dan disucikannya”

“ Bulan Ramadhan mampu membakar dosa-dosa yang telah dilakukan”

Begitulah pelbagai penafsiran ulama’ terdahulu terhadap penamaan “ Ramadhan”

Berbalik kepada makna puasa, kami telah menukilkan kembali maksud puasa pada awal penulisan secara etimologi mahupun terminologi atau dalam kata lain bahasa dan istilah iaitu puasa ataupun صوم dimaksudkan dengan menahan diri. Walau bagaimanapun, dengan terbitnya perkataan ‘menahan’ itu diikuti dengan istilah sabar. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya اسرار الصوم iaitu puasa disebut separuh daripada kesabaran, sejajar dengan sabda Rasulullah “Puasa itu separuh daripada kesabaran” {al-Tirmidhi (3519}.

Dalam kata lain bulan Ramadhan ini adalah bulan dimana kesabaran kita akan diuji dengan diri kita sendiri supaya kita menjadi versi terbaik bagi diri kita dan sentiasa ‘upgrade’ pada setiap Ramadhan yang dilalui. Dengan itu, jadikanlah setiap Ramadhan yang direzekikan untuk kita lalui sebagai peluang ‘emas’ dalam hidup kita kerana belum tentu Ramadhan seterusnya diizinkan untuk kita lagi.

20 hari menuju Ramadhan

Akhukum fillah 🤍
والله اعلم

@bicaradaie05
Berbaki kurang 20 hari sebelum tibanya bulan yang dinanti

Ramadan Kareem

Dalam saat yang berbaki ini marilah kita perbanyakkan amalan sunat supaya menjadi kelaziman sebelum tibanya bulan mulia itu

Perbanyakkan doa dalam apa jua keadaan. Semoga kita semua direzekikan untuk bertemu kembali dengan bulan Ramadhan🤍

@bicaradaie05
[Coretan 14 Sya'ban - Edisi Nisfu Sya'ban]

Indahnya aturan Allah dalam memberi rahmat kepada hamba-Nya!

Manusia sering alpa akan persediaan menyambut bulan mulia 'Ramadhan Kareem'. Sedangkan untuk kita mengoptimumkan amalan kita pada bulan mulia ini adalah dengan bersedia sejak awal lagi dan bukannya hanya berpaksikan semangat yang kadang cerah kadang malap. Jika kita menelusuri susunan takdir amat indah dalam menyambut bulan yang mulia ini. Lihat sahaja apabila tiba sahaja bulan Rejab manusia sudah mulai mengulang bait-bait doa

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَب وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Doa yang menjadi saksi rasa rindu dan cinta akan rahmat Allah yang bakal digarap di bulan mulia itu. Dalam masa yang sama tidak dilupakan Firman-Nya di dalam Surah al-A'raf ayat 34 yang menyebutkan soal ajal maut yang boleh tiba bila-bila masa sahaja

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

Maka doa dipohon untuk diberkati seluruhnya waktu yang digelar 'ambang Ramadhan' itu dan ditambah pula dengan lafaz pengharapan kepada Allah agar direzekikan untuk bertemu lagi dengan bulan mulia Ramadhan Kareem.

Belum lagi jika disertai dengan peristiwa-peristiwa agung yang mempunyai fadhilat tersendiri yang banyak berlaku sebelum Ramadhan seperti Isra' Mi'raj yang menjadi bukti perjalanan agung Rasulullah SAW bertemu Allah dan menjadi titik permulaan pensyariatan solat kepada manusia.

Terdapat juga waktu-waktu tertentu yang mempunyai kelebihan tersendiri seperti awal rejab dan malam nisfu syaaban yang terkandung rahmat dan pengampunan di dalamnya.

Bahkan jika diintai amalan golongan terdahulu lebih dahsyat lagi. Antaranya ialah seperti nukilan Ibn Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya لطائف المعارف

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadl: “Adalah mereka berdoa kepada Allah selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah SWT menerima daripada mereka amalan mereka”

Subhanallah, begitu besar amalan dan persediaan mereka untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia.

Maka apa lagi alasan kita sebagai seorang hamba untuk mengambil ringan akan rahmat yang dikurniakan ini apatah lagi bila direzekikan kepadanya bulan Ramadhan, namun bulan itu berlalu tanpa diampunkan dosanya. Hanya lapar dan dahaga yang diperoleh olehnya.

نَعُوْذُبِاللهِ مِنْ ذَالِكَ

Dalam masa yang berbaki sebelum kita bertemu dengan bulan Ramadhan ini, penulis ingin mengajak kepada sekalian untuk sama-sama kita beramal dengan bersungguh-sungguh, perbaiki solat kita,perbanyakkan doa, lazimkan diri untuk bangun di sepertiga malam dan membasahi lidah kita dengan bait-bait Kalamullah supaya kita bertemu Ramadhan dengan penuh bersedia untuk menghadapi seluruhnya dengan menggarap segala rahmat yang zahir mahupun yang batin daripada.

Esok 13/2/2025 selepas masuk waktu maghrib akan tiba 15 Sya'ban atau lebih dikenali dengan nisfu Sya'ban akan tiba. Ditambah pula dengan malam jumaat yang juga merupakan antara malam yang mempunyai kelebih di dalamnya. Subhanallah, sungguh indah aturan Allah kan. Antara fadhilat yang disebutkan dalam hadith tentang malam ini adalah seperti berikut:

Daripada Mu‘az bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban, kemudian Dia mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan.”

Riwayat Ibn Hibban (5665)

Rahmat Allah diturunkan untuk semua makhluknya pada malam ini kecuali kepada 2 golongan iaitu orang yang mensyirikkan-Nya dan bermusuhan. Dari sini kita dapat lihat pentingnya dalam menjaga 2 jalur hubungan iaitu hubungan sesama manusia dan hubungan sesama Allah.
Banyak lagi riwayat yang menuntut manusia untuk mengambil berat tentang 2 jalur hubungan tersebut demi keselamatan dunia dan akhirat. Semoga kita tidak tergolong dalam 2 golongan tersebut.

Imam Asy-Syafi'i juga menukilkan di dalam kitabnya al-Umm tentang malam ini:

Kita dituntut pada malam ini untuk memperbanyakkan doa kepada Allah SWT. Hal ini kerana, tidak dinafikan bahawa pada malam tersebut mempunyai kelebihan bila mana padanya terdapat keampunan serta penerimaan yang khusus bagi mereka yang memohon keampunan dan berdoa kepada-Nya. Oleh sebab itu, Imam al-Syafi‘i memasukkan malam nisfu Syaaban sebagai salah satu daripada lima malam yang mustajab untuk berdoa di dalamnya. (Malam Jumaat, Malam dua hari raya, Malam awal rejab & Malam Nisfu Sya'ban) (Lihat al-Umm, 1/264)

Disebutkan juga oleh Ibn Hajar Alhaitami di dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah Kubra

وَالْحَاصِلُ أَنَّ لِهَذِهِ اللَّيْلَةِ فَضْلًا وَأَنَّهُ يَقَعُ فِيهَا مَغْفِرَةٌ مَخْصُوصَةٌ وَاسْتِجَابَةٌ مَخْصُوصَةٌ وَمِنْ ثَمَّ قَالَ الشَّافِعِيُّ إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِيهَا وَإِنَّمَا النَّزَاعُ فِي الصَّلَاةِ الْمَخْصُوصَةِ لَيْلَتِهَا

"Dan kesimpulannya bahwasanya malam ini memiliki keutamaan dan di dalamnya terdapat keampunan dari Allah secara khusus (bagi hamba-hambanya selain yang dikecualikan pada hadith-hadith sebelumnya), dan pengkabulan doa secara khusus, sehingga Imam Syafi'i berkata bahwasanya doa di malam ini mustajab, adapun titik perselisihannya adalah terkait ibadah solat khusus di malam tersebut" (al-Fatawa al-Fiqhiyyah Kubra 2/81)

Akhirulkalam, penulis sekali lagi mengajak akan semua yang sudi membaca coretan ini untuk sama-sama beramal pada malam esok dan perbanyakkan doa untuk kemaslahatan nafsi, keluarga, agama dan negara.

Semoga kita semua sentiasa berada dalam nikmat Iman dan Islam dan diberikan peluang beramal di bulan Ramadhan kali ini.

Akhukum Fillah, Wallahua'lam

Malam 12/2/2025 bersamaan 14 Sya'ban 1446H

@bicaradaie
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
Forwarded from Yulis Dharma

📸  : @sahabat_naseeha >< @thesunnah_path
-
📚 [ SAMBUTLAH RAMADHAN DENGAN ILMU ]
..
Ilmu adalah kebutuhan.. untuk mencapai sebuah kesuksesan, itu dikarnakan adanya ilmu. Begitu pula Ramadhan, untuk mendapatkan kemuliaan ibadah puasa serta di terimanya ibadah puasa kita, ia nya harus di dasari oleh ilmu. Dengan mempelajari hukum-hukumnya, syarat-syarat puasanya.. Dan semua yang berkaitan dengan puasa.
..
Untuk itu.. Sebelum ramadhan tiba, bekali diri dengan mempelajari ilmu seputar ramadhan. jangan hanya sekedar berharap bertemu ramadhan saja, tapi berharap juga agar lebih giat beribadah nya.
.
Semoga kita dan seluruh warga muslim di seluruh dunia Allah berikan kesehatan, kekuatan, ketenangan dan kebahagiaan dalam menjalankan Ibadah puasa di tahun ini.. Dan menerima segala amal ibadah puasa kita. (Aamiin)..

Barakallahu lana...

📝 Dikutip dari kajian rutin Fiqih Ramadhan, Musholla Imam Asy-Syafi’i, Selatpanjang, Jln. Kartini
Ustadz : Abu Fairuz Tengku Azmi Ar-Riawy حفظه اللّه
.
.
___

#westandwithpalestine🇵🇸❤️
#prayforpalestine 🤲🏻🇵🇸
#savepalestine
-
Follow & join us : 👇🏼
@sahabat_naseeha
@sahabat_naseeha
-
Silahkan di save & share jika bermanfaat
🔇 Don’t use music
CORETAN 17 SYA'BAN

Persediaan sebelum menjelang Ramadhan

Pernah tak dengar istilah ‘Madrasah Ramadhan”?
Mesti pernahkan, bahkan frasa inilah yang selalu dijadikan tajuk perbincangan di ambang Ramadhan saban tahun. Tapi pernahkan kita benar-benar menganggap Ramadhan itu sebagai sebuah madrasah buat kita? Apa buktinya? Apa persediaan yang kita lakukan untuk menghadapinya sama ada dari rohani dan jasmani?

Kalau benar kita anggap Ramadhan sebagai bulan yang sangat istimewa, mesti kita akan melakukan persiapan sebanyak mungkin sebelum menghadapinya sebagaimana kita melakukan persekolahan di ambang persekolahan bertepatan dengan situasi pada tahun ini. Istilah #backtoschool yang diulang saban tahun dengan diskaun di pelbagai tempat demi memastikan diri benar-benar bersedia untuk menjalani alam persekolahan. Begitulah juga semangat yang patut ada dalam diri kita apabila berada di ambang Ramadhan iaitu bersungguh-sungguh melazimi amalan wajib mahupun sunat dengan sebaik mungkin agar sepanjang Ramadhan terisi dengan pengharapan dan pengabdian hanya kepada-Nya. Mari kita menyingkap bagaimana ulama’ terdahulu mempersiapkan diri demi menghadapi bulan yang sangat dinanti ini

Justeru, wajarlah bagi setiap jiwa yang berhambakan Ilahi untuk merasa teruja dengan kedatangan bulan mulia sebagai anugerah yang sangat bernilai bagi kita.

Ulama’ terdahului mempersiapkan diri dengan melazimi doa. Antara doa yang selalu diulang-ulang bila hampir tibanya Ramadhan ialah

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: "Ya Allah berkatilah bagi kami pada bulan Rejab dan Sya'ban serta berkatilah kami juga pada bulan Ramadhan."
Dan ada pula doa yang diamalkan oleh golongan salaf al-soleh terdahulu agar Ramadhan diisi dengan pelbagai amalan soleh adalah

اللَّهُمَّ سَلَّمْنِي لِرَمَضَانَ وَسَلَّمْ رَمَضَانَ لِي وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلا
Maksudnya: "Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya bulan Ramadhan, sejahterakan-lah Ramadhan itu bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)."

Begitu juga dengan doa yang diamalkan bila melihat anak bulan

اللهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ الله
Maksudnya: "Ya Allah! Naungilah kami dengan keamanan dan keimanan serta keberkatan keselamatan dan kesejahteraan. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah."

Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya لطائف المعارف menukilkan daripada Ma’la bin al-Fadl: “Adalah mereka berdoa kepada Allah selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadhan dan enam bulan lagi supaya Allah SWT menerima daripada mereka amalan mereka”

Begitu besarnya usaha yang dilakukan mereka dalam mempersiapkan diri untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia. Firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir : 60)

Selain itu, Dr Sayyid al-Affani berkata : “ golongan salaf terdahulu menyambut Ramadhan dengan taubat nasuha kepada Allah SWT dan kembali kepadanya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadah.”

Di sini penulis menekankan bahawa walaupun istilah ‘madrasah ramadhan’ itu terpakai tetapi usaha bagi menghadapi madrasah itu juga penting. Bukan hanya mula melazimi amalan sunat pada awal Ramadhan ataupun berazam untuk bertaubat dengan taubat nasuha hanya pada awal Ramadhan. Ini bagi menjaga momentum semangat kita supaya tidak mudah pudar sekaligus memupuk disiplin baharu yang akan menjadi rutin kita sehari-hari.,
Sebagai peringatan buat kita semua untuk menghadapi Ramadhan dengan sebaiknya penulis tertarik untuk menukilkan tentang antara tujuan 3 amalan utama yang dilakukan pada bulan Ramadhan sebagai kayu ukur kita untuk sentiasa tajdid niat agak mencapai keikhlasan untuk dipersembahakan kepada-Nya

Dalam buku 132 Langkah penyucian jiwa, pelajaran 60,61 dan 62 membicarakan tentang tujuan ataupun niat membaca al-Quran dan berpuasa di bulan Ramadhan. Tujuannya adalah seperti berikut:

Pelajaran 60 – Tujuan membaca al-Quran di bulan Ramadhan

Antara cara mengubati hati ialah dengan membaca al-Quran. Tetapi bukan dengan cara membaca lalu sibuk dengan bilangan halaman yang telah dibaca. Tidak penting memperbanyakkan khatam al-Quran, tetapi yang lebih penting ialah anda membaca dengan tadabbur (merenung) dan meneliti ayat yang dibaca secara terperinci. Anda hendaklah menggambarkan bahawa Allah sedang berbicara dengan anda melalui kalam-Nya. Inilah pengertian membaca al-Quran dengan tadabbur.

Pernah dengar tak, ulama’ terdahulu menggandakan amalan mereka di bulan Ramadhan terutamanya dari segi pembacaan al-Quran kerana Ramadhan itu sendiri dipanggil Bulan al-Quran dimana turunnya wahyu pertama daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Sungguh, semua peristiwa mahupun perkara yang mempunyai keterlibatan dengan Kalamullah ini mempunyai kelebihan tersendiri. Penulis terpanggil untuk menukilkan kalam Sheikh Doktor Ahmed Isa Al-Ma’sarawi berkenaan pernyataan ini

نزل جبريل بالقرآن # فأصبح جبريل افضل الملائكة
نزل القرآن على محمد ﷺ # فصار محمد سيد الخلق.
وجاء القرآن إلى أمة محمد فأصبحت أمة محمد خير أمة.
نزل القرآن في شهر رمضان فأصبح رمضان خير الشهور
نزل ‎القرآن في ليلة القدر فأصبحت ليلة القدر خير الليالي.
فماذا لو نزل ‎القرآن في قلوبنا ؟؟

Jibril menurunkan al-Quran, maka Jibril menjadi malaikat yang paling mulia.
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka Nabi Muhammad menjadi penghulu sekalian makhluk.
Al-Quran datang kepada umat Nabi Muhammad, maka jadilah umat Nabi Muhammad menjadi sebaik-baik umat.
Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan, maka Ramadan menjadi sebaik-baik bulan.
Al-Quran diturunkan pada malam al-Qadr, maka malam al-Qadr menjadi malam yang paling mulia.
Lalu, bagaimana jika al-Quran turun ke dalam hati kita?

أَفَلَا يَتَدَبَّرُونَ الْقُرْآنَ أَمْ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقْفَالُهَا
Maka, apakah mereka tidak mentadabbur (memerhatikan dan memahami) al-Quran, ataukah hati mereka sudah terkunci?
[Surah Muhammad : 24}

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan ini. Sentiasalah berdamping dengan al-Quran di setiap hari sepanjang hidup kita di dunia ini.

Berbalik kepada konteks Ramadhan sebagai bulan al-Quran. Penulis telah mengambil nukilan tadi sebagai pembuktian keterikatan kepada al-Quran mengangkat kemuliaan sesuatu perkara, tapi tidak dilupa bahawa semuanya berlaku atas kehendak-Nya dan dengan izin-Nya sahaja.

Imam an-Nawawi menukilkan amalan salaf berkenaan khatamm al-Quran iaitu diantaranya ada yang khatam sekali, dua kali sebulan bahkan ada yang khatam sehari 2 kali dan lebih dari itu.
Di sini, kita lihat kesungguhan golongan terdahulu dalam beramal lagi-lagi dengan membaca al-Quran. Mana tidaknya, membaca al-Quran di bulan biasa sahaja sudah banyak ganjarannya yang berlipat kali ganda, apatah lagi di bulan Ramadhan yang berganda-ganda manfaatnya.

Tidak dilupakan juga peristiwa nuzul al-Quran berlaku di bulan Ramadhan yang diistilahkan oleh Dr.Zulkifli al-Bakri sebagai permulaan peradaban manusia dimana ia menyingkap kegelapan jahiliyah dan memberi pancaran sinar keilmuan Islam melalui kitab Ilahi yang dengannya tertegak tamadun Islam dan insan. Maka beruntunglah mereka yang berpegang dengan kitab suci ini dan menjadikannya petunjuk dan pedoman hidup.

Pelajaran 61 – Tujuan berlapar di bulan Ramadhan
“Melatih diri mengosongkan perut ialah supaya seseorang tidak terlalu banyak makan, Silalah makan, tetapi perlu seimbang.
Ada orang terlalu memberi perhatian mengenai makanan dan berusaha mempelbagaikan jenis-jenis makanan tersebut. Apabila kenyang, dia mula duduk berfikir mengenai makanan seterusnya yang hendak disediakan pada hari ini, manakala apabila lapar, kecur liurnya melihat makanan yang hendak dimakan. Justeru dia sentiasa berada sama ada sebagai seorang yang lapar yang perhatiannya tertuju kepada makanan yang hendak dimakan atau sebagai orang yang telah kenyang, namun perhatiannya tertuju pula untuk menyediakan makanan yang seterusnya. Berwaspadalah dengan keadaan seperti ini.
Jika anda telah sampai ke tahap ini, anda telah menjadi seumpama haiwan. Semoga Allah melindungi kita daripada berada dalam keadaan seperti ini.

Oleh yang demikian, seseorang itu mesti melalui beberapa tempoh waktu dia berada dalam keadaan lapar. Keadaan ini membersihkan hatinya. Dia boleh makan selepas itu, tetapi dia perlu melalui tempoh seperti ini.”
Perkara ini sejajar dengan maksud daripada perkataan الصوم iaitu menahan diri sebagaimana yang penulis katakan di awal perbahasan. Seterusnya, penulis menukilkan sinkronisasi antara nukilan tersebut dengan perbahasan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili di dalam kitabnya ‘Penawar Bagi Hati’ di dalam bab 1 dalam kitab 2 iaitu menjaga anggota batin hati dan sifat-sifat mazmumah
Syeikh Abdul Qadir al-Mandili menyifatkan sifat sangat suka makan di dalam شرح الطعام sebagai penyebab kejahatan paling awal kerana perut adalah tempat terhasilnya keinginan (syahwat)

Oleh itu, apabila nafsu makan semakin kuat, kita akan susah untuk menjaga nafsu terhadap perkara lain termasuklah perkara yang mungkar dan secara tidak langsung terjerumus ke perkara yang lebih tercela.
Justeru, daripada amalan berpuasa di bulan Ramadhan inilah sebagai tamrin kepada diri kita untuk mengawal nafsu sebaiknya.

Pelajaran 62 - Tujuan Qiamullail

“Qiamullail (bangun malam) bererti solat. la bukan bermaksud anda duduk bersama kawan-kawan berjaga malam. Perkataan 'bangun malam' ialah kiasan kepada solat tahajud, iaitu bangun untuk solat di akhir malam, lalu bermunajat pada waktu sahur.
Disunatkan seseorang solat pada akhir malam, lalu apabila berbaki 15-20 minit sebelum subuh, dia menamatkan solat dan duduk bermunajat, merintih, menangis serta menghina diri di hadapan Allah. Hal ini demikian kerana waktu ini merupakan fasa terbaik sepanjang tempoh dia bersolat.

Saya masih ingat sewaktu kecil rumah yang kami duduki adalah kecil. Saya tidur dalam bilik yang digunakan oleh bapa saya untuk solat. Pada kebanyakan malam, saya terjaga daripada tidur disebabkan oleh tangisan dan munajatnya kepada Allah. Situasi itu berlaku beberapa waktu sebelum subuh menjelang, sedang bapa saya mengulang-ulang beberapa wirid dan rintihan pada waktu tersebut.”

Antara amalan yang lazim juga diamalkan pada bulan Ramadhan ialah Qiamullail kerana pada bulan Ramadhan adanya waktu sahur untuk kita bangun dan makan sedikit sebelum memulakan hari kita. Namun begitu, jangan dianggap remeh amalan ini kerana sungguh hanya yang terpilih yang akan benar-benar mengambil peluang dan laksanakan dengan penuh khusyu’. Sebaliknya, bagi orang yang menganggap Ramadhan hanya seperti bulan biasa, hanya mengikut adat setempat yang diajar dari kecil untuk menahan lapar dan dahaga akan susah untuk menggarap peluang seperti ini apabila tiba waktunya. Pentingnya persediaan sebelum menjelang Ramadhan adalah untuk memberi kita persiapan secukupnya sama ada dari sudut mental mahupun fizikal. Maka, penulis menekankan lagi bahawa pentingnya untuk kita bersedia dari semua aspek untuk memasuki madrasah jihad ini (Ramadhan).
Ada apa dengan tahajud?
Selalu kita dengar istilah ‘me time’ iaitu salah satu waktu buat manusia untuk bersendiri tetapi sebenarnya bersendiri dalam bentuk yang terbaik ada pada qiamullail itu sendiri. Setelah menghadapi perit dan lelah kehidupan seharian, kita bangun di sepertiga malam merintih dan meluah segala perasaan kepada Sang Pencipta dalam titik terendah kita sebagai hamba-Nya. Sujud kepada-Nya menjadi bukti manifestasi cinta agung kita kepada-Nya

Subhanallah!

Semoga kita semua dikurniakan kenikmatan dalam beribadah!

13 HARI MENUJU RAMADHAN

Akhukum Fillah, Wallahua'lam

@bicaradaie
Coretan 20 Sya'ban 1446H

Rahsia Puasa


Penulis telah menyatakan di awal bab pengenalan dan persediaan ramadhan dan bab seterusnya berkaitan dengan kelebihan dan fadhilat amalan berpuasa itu sendiri. Di sini penulis ingin menekankan lagi tentang amalan ini buat menjadi pedoman kita semua
Penulis tertarik untuk menukilkan berkenaan bab ini melalui kitab اسرار الصوم karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali:

“Puasa itu istimewa kerana dua hal;

Yang pertama: Bahawa puasa itu merupakan sebuah amalan bersifat menahan dan meninggalkan, maka sifatnya adalah rahsia, tidak terlihat. Sedangkan amalan-amalan lain bersifat zahir dan terlihat oleh mata kasar. Manakala, puasa tidaklah terlihat melainkan oleh Allah sahaja. Maka, ia sebuah amalan dalaman yang diamalkan dengan semata-mata kesabaran dan ketahanan.
Yang kedua: Bahawa ia adalah salah satu cara untuk menewaskan musuh Allah . Ini kerana salah saatu wasilah syaitan dalam menyesatkan manusai adalah melalui syahwat. Dan sesungguhnya syahwat itu diperkuatkan dengan makan dan minum.”
Rasulullah SAW bersabda :

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin) dan sesiapa tidak sanggup, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat membendung syahwat.” Riwayat Muslim (3386)

Dalam hadith juga Rasulullah telah memberi panduan kepada manusia bahawa salah satu cara untuk membendung nafsu syahwat adalah dengan berpuasa. Maka, jika diamalkan amalan puasa itu dengan sebaiknya iaitu bukan sahaja berlapar tetapi termasuk menjaga diri dari melakukan amalan yang dikeji dan perbuatan yang tidak elok nescaya akan membendung nafsu daripada mengawal diri seorang insan

Terdapat juga Hadith Baginda Rasulullah yang mengistilahkan ibadah puasa sebagai perisai

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الصيام جنة

Maksudnya : “ Puasa itu adalah perisai” Riwayat al-Bukhari (1894)

Jika diteliti, kata ‘perisai’ tidaklah difahami secara literal yang hanya mengambil pandangan secara zahir. Mari kita menelusuri tafsiran para ulama’ berkenaan maksud perisai di sini:

Ibn Abd al-Bar berpendapat, ia sebagai pelindung dan perisai daripada api neraka

Ibn Athir berkata : “Yang dimaksudkan dengan perisai adalah puasa itu mencegah seseorang daripada melakukan perkara syahwat.”

Al-Munawi berkata: “Penjagaan (dari Allah) di dunia ialah daripada melakukan maksiat dengan disekat nafsu syahwat dan menjaga anggota (daripada maksiat). Adapun penjagaan di akhirat ialah dijaukan daripada api neraka.”

Ibadah puasa juga menjadi perisai kepada seorang insan dalam melakukan hal-hal mungkar seperti dalam menjaga dari berkata keji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta bahkan melakukannya maka tiadalah bagi Allah hajat pada bahawa dia meninggalkan makanan dan minumannya.” Riwayat al-Bukhari (1903)

Namun, perlu sentiasa ditanam di dalam diri bahawa niat ibadah puasa dilakukan tidak lain hanyalah kerana Allah agar iltizam kita menjadi titik perubahan dan bukannya seperti sesetengah orang yang menjadi hamba Ramadhan.

Orang yang disifatkan sebegini apabila habisnya bulan Ramadhan, dia kembali melakukan dosa-dosa lama yang telah dia tinggalkan. Biarlah Ramadhan menjadi sebaik-baik titik perubahan dan istiqomah di dalam hidup kita dalam berkelana mencari cinta Ilahi.

Bagi mengakhiri topik rahsia puasa, penulis tertarik untuk memberi khulasah ataupun ringkasan daripada subtopik فوائد الصيام nukilan Dr Wahbah Zuhaili
Dalam الفقه الاسلامي وأدلّته karya Dr Wahbah Zuhaili dalam bab الصيام ada menerangkan juga mengenai faedah puasa: antaranya,

1. Puasa adalah bentuk ketundukan dan ketaatan kepada Allah. Dengan berpuasa seseorang memperoleh keredhaan Allah dan berhak memasuki syurga melalui pintu khas yang dipanggil ’Ar-Rayyan’.
2. Puasa juga menjauhkan dari azab Allah daripada akibat dosa yang mungkin dilakukan kerana ia menjadi kafarah dari tahun ke tahun
3. Puasa juga digelar sebagai مدرسة خلقية (madrasah akhlak) yang hebat kerana seseorang dilatih untuk memiliki pelbagai sifat terpuji dan jihad melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan yang boleh menggoda manusia.
4. Puasa menahan dari pelbagai sifat duniawi kerana diajar untuk sabar dan berfikir secara rasional dalam menghadapi situasi yang pelbagai.
5. Puasa meningkatkan produktiviti manusia seharian dan memupuk disiplin bagi mematuhi waktu bersahur dan berbuka yang telah ditetapkanh seharian.
6. Berpuasa juga dapat mengeratkan hubungan persaudaraaan sesama saudara islam dengan saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Berikut adalah antara ringkasan kelebihan berpuasa yang dinukilkan oleh Dr Wahbah Zuhaili. Sebenarnya, lebih banyak lagi yang diutarakan dengan penjelasan yang sangat jelas beserta contoh tetapi penulis hanya ambil sedikit nukilan sahaja.
Semoga kita semua lebih bersemangat untuk mengerjakan ibadah puasa fardhu mahupun sunat di sepanjang perjalanan hidup kita sebagai bukti pengorbanan yang kita lakukan demi menzahirkan cinta buat Ilahi.

Akhukum fillah🤍

والله أعلم

10 HARI MENUJU RAMADHAN!

@bicaradaie
اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
2025/02/22 15:52:00
Back to Top
HTML Embed Code: