tgoop.com/BercakapDenganJin/6336
Last Update:
"Kau tak boleh biarkan mak su kau tu, Simek," emaknya Uda Besah ingatkan Simek Bacar. Kalau tidak disebabkan kakinya lumpuh sampai tidak boleh berjalan, memang mahu juga dia menegur adik kandungnya itu.
Tetapi siapa yang boleh diharap mahu mencegah Lamijah membawa anak-anak muda naik ke rumahnya.
Lebai Soned yang marahkan Lamijah disebabkan tidak mahu jejakkan kaki ke surau pun, tiba-tiba sahaja seringkali berkunjung ke rumah Lamijah. Sampailah Talib Enjut meninggal dunia akibat menderita batuk kering Lebai Soned sendiri yang menikahi Lamijah. Terkejut juga Imam Lah dengan keputusan sepupunya Lebai Soned berkahwin dengan Lamijah sekalipun terpaksa menceraikan Leha Montok.
Memang Lamijah sendiri mendesak supaya dia ceraikan Leha Montok sekiranya mahu berkahwin dengannya. Lebai Soned tidak membantah. Asal sahaja Lamijah sanggup menjadi isterinya bila-bila dia rela menceraikan Leha Montok.
"Dulu, awak marahkan saya tak ke surau," sengaja Lamijah mengejek Lebai Soned sebaik sahaja mereka tinggal serumah.
"Ah, perkara yang lepas jangan dikenang lagi," pujuk Lebai Soned supaya Lamijah tidak ungkit-ungkit lagi fasal dia menegah perbuatan perempuan itu.
"Bukankah awak tak sukakan saya?" usik Lamijah mahu menguji hati Leba Soned.
"Siapa cakap saya tak sukakan Lamijah," berdebar juga hati Lebai Soned mahu berkeras dengan perempuan itu.
Manalah tahu Lamijah akan mengambil keputusan meninggalkan dia.
Semenjak dia marahkan Lamijah disebabkan membawa Leman Tunjal naik ke rumah sewaktu arwah Talib Enjut tidak ada di rumah, terasa sangat kesal di hati Lebai Soned. Saban malam dia tidak dapat lelapkan mata, hinggakan Lamijah seolah-olah datang ke sisi-nya.
Lamijah akan picitkan tubuhnya yang lenguh-lenguh hingga terasa segar semula. Isterinya Leha Montok hanya terkebil-kebil mata sahaja melihat Lamijah memicitkan tubuhnya. Dia kan merasakan tubuhnya sakit hingga sengal-sengal semua sendi sekiranya Lamijah tidak datang menjelma di sisinya.
Sebab itu dia ambil keputusan untuk berkahwin dengan Lamijah. Tetapi Imam Lah menyedari kejadian yang menyelubungi Lebai Soned itu. Masakan sepupunya itu boleh berubah kalau tidak bersebab. Lama Lebai Soned belajar pondok di Kelantan, tentulah dia tidak akan membuat kerja yang sia-sia kalau semata-mata mahu beristerikan Lamijah.
Sebab itu dia ingatkan Leha Montok supaya bersabar dengan kejadian yang menimpa Lebai Soned. Setelah keadaan Lebai sama juga seperti dialami oleh arwah Talib Enjut, seisi kampung semakin syak dengan amalan yang dijadikan pedoman oleh Lamijah
Bukan sahaja Lebai Soned tidak lagi jejak kaki. ke surau, malah di hadapan dia pun Lamijah tidak ragu-ragu bawa anak teruna bermalam di rumahnya. Kalau Leman Tunjal tidak jengah muka, Berahim Buyut pula terhegeh-hegeh merayu. Kadangkala datang serentak dengan Mail Balam sampai bertengkar bertegang leher.
"Kau yang berambus!" jerkah Lamijah dari tingkap rumah menuding Berahim Buyut menyebabkan anak muda itu patuh meninggalkan kawasan rumah. Ketika ini Mail Balam akan tersengih-sengih naik ke rumah sambil mengerling Lebai Soned yang terconggok di hujung serambi.
Apa sangat yang harap oleh anak-anak muda itu kepada Lamijah yang sudah berusia ketika itu. Tetapi mereka tetap melihat perempuan itu bagaikan gadis jelita sama seperti puteri susuk emas yang mendampingi Lamijah. Tatkala Imam Lah datang berkunjung ke rumah Lebai Soned memang serba salah juga sepupunya itu. Kalaulah tidak disebabkan Lamijah benarkan naik memang dia tidak berani mempelawa Imam Lah jejak kaki.
“Hai, mimpi apa abang Lah datang ni?" Lebai Soned sengaja mengusik sepupunya itu.
Irnam Lah hanya tersengih-sengih sahaja. Apalah salahnya dia berkunjung setelah lama tidak bersua muka. Apatah lagi Lebai Soned sudah tidak lagi jejakkan kaki ke surau semenjak berkahwin baru.
BY Kisah Seram www.tgoop.com/BercakapDenganJin
Share with your friend now:
tgoop.com/BercakapDenganJin/6336