tgoop.com/BercakapDenganJin/6337
Last Update:
Tidak sampai setengah jam Imam Lah terconggok di tengah serambi, tiba-tiba sahaja di bilik tidur Leman Tunjal terbatuk-batuk. Kemudian dia berlari melompat ke pangkal serambi tidak sempat lagi ke sungai, terus sahaja terberak di kaki tangga. Terkebil-kebil mata Lebai Soned melihat Leman Tunjal melintas di hadapannya tergocoh-gocoh.
"Hai, siapa pula yang keluar dari bilik kau?" Imam Lah pura-pura bertanya.
Merah padam muka Lebai Soned menahan rasa marah yang bergelora, tetapi hatinya gementar tidak menentu. Memang dia tahu. Leman Tunjal naik ke rumah disebabkan Lamijah membenarkan. Kadangkala dia terpaksa tidur di serambi apabila Leman Tunjal masuk ke bilik. Bukan Leman Tunjal sahaja, kalau Berahim Buyut atau Mail Balam yang masuk ke bilik pun, Lebai Soned tidak akan membantah.
Siapapun yang dikehendaki oleh Lamijah memang Lebai Soned tidak akan bersuara apa-apa, asal sahaja dia tidak dipisahkan daripada perempuan itu. Tetapi dia berasa malu kerana Leman Tunjal melintas semasa Imam Lah ada terconggok sama. Kenapa anak muda itu tidak mendiamkan diri sahaja di bilik sampai Imam Lah balik ke rumah?
Tetapi Leman Tunjal tidak boleh bertahan di situ. Perutnya memual-mual mahu buang air besar hingga terbatuk-batuk tidak boleh dikawal lagi. Dia tidak peduli lagi sama ada Imam Lah terconggok atau pun tidak disebabkan rasa memual perut itu bagaikan mahu terlambak usus keluar.
Malu benar Lamijah dengan perbuatan Leman Tunjal keluar dari bilik tatkala tetamu berkunjung ke rumah. Sebab itu dia tidak berani jengah muka ke serambi selagi Imam Lah masih terconggok di tengah serambi.
Kalau tidak diberitahu pun memang Imam Lah dapat mengagak ada lelaki lain di bilik Lebai Soned. Tahu benar dia petaka yang menimpa Lebai Soned setelah termasuk perangkap puteri susuk emas yang menjadi amalan Lamijah itu. Sebaik sahaja bersila rapat di tengah serambi, memang Imam Lah sudah membacakan tujuh kali doa:
"Laqadja-akum rasulun an-fusikum 'azizun 'alaihi ma-anittum harisun 'alai-kum bilmukminina ra-ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illa-huwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul-'arsyiil 'azim."
Tatkala Imam Lah menuruni tangga untuk balik, tiba-tiba sahaja Lebai Soned menangis terisak-isak. Hiba sangat hatinya tidak menentu dengan kunjungan Imam Lah, tiba-tiba sahaja Leman Tunjal menghambur keluar sampai rahsianya membenarkan lelaki lain masuk ke bilik isterinya diketahui orang juga.
Tidak lama selepas itu, Lamijah menghalau Lebai Soned keluar dari rumahnya. Bukan Lebai Soned sahaja, malah Leman Tunjal juga tidak dibenarkan jejak kaki ke situ. Meraung, sepanjang malam Leman Tunjal merayu-rayu meminta Lamijah tidak menghalaunya.
Dalam keadaan pilu Lebai Soned melangkah longlai meninggalkan rumah Lamijah. Dia terus ke rumah Imam Lah menahan rasa hati yang berkecamuk. Gembira sangat Imam Lah disebabkan sepupunya dapat melepaskan diri daripada cengkaman puteri susuk emas itu.
Kalau Lebai Soned balik ke rumahnya, memang dia sudah nekad untuk mendoakan seterusnya sehingga sepupunya benar-benar pulih. Dia tidak menyalahkan Lebai Soned yang sudah dipukau oleh godaan syaitan yang menjelma dalam amalan puteri susuk emas yang meresap dalam diri Lamijah.
Selagi Lebai Soned tidak dipisahkan daripada Lamijah selama itulah dia akan terus terperangkap. Biarlah memakan masa baru Lebai Soned boleh dipulihkan, Imam Lah tetap bersabar memohon doa daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Dalam saat demikian hanya Allah sahaja tempat mereka berlindung dan memohon pertolongan.
Lebai Soned sendiri merelakan dirinya dilakukan apa sahaja oleh Imam Lah, kerana semenjak beberapa bulan dia beristerikan Lamijah setiap malam dia bermimpi jatuh ke dalam kubang tahi yang menjijikkan. Puas dia berusaha melepaskan diri, tetapi kakinya lemah tidak dapat melompat keluar dari kubang tahi berkenaan.
Disebabkan Lebai Soned yang rela didoakan, Imam Lah hanya langirkan sepupunya itu dengan tiga biji limau tatkala mandi sewaktu matahari naik segalah. Sewaktu memotong limau ke dalam jag berisi air, Imam Lah membacakan tujuh kali doa:
BY Kisah Seram www.tgoop.com/BercakapDenganJin
Share with your friend now:
tgoop.com/BercakapDenganJin/6337