tgoop.com/BercakapDenganJin/6348
Last Update:
"Qul-innama ana-ba-syarum mislukum yuha-ilaiya innama ila-hukum ila-hun wahidun faman-kana yarju liqa-a rabbihi fal-ya'mal lamalan solihau walayusy-rik bi'ibadati rabbihi ahadan."
Sewaktu air limau dilangirkan ke kepalanya tersengguk-sengguk Lebai Soned menangis bagaikan kanak-kanak dimarahi. Terpaksa pula Imam Lah memujuknya untuk mententeramkan dia. Beberapa kali Lebai Soned beristighfar selepas dilangir oleh Imam Lah sewaktu matahari naik segalah.
Tiga pagi Imam Lah mandikan Lebai Soned dengan berlangir limau, dia mula jejakkan kaki semula ke surau. Dia juga tidak membantah apabila disuruh rujuk semula dengan bekas isterinya Leha Montok.
Selepas bercerai dengan Lebai Soned, beberapa kali juga Lamijah berkahwin. Tetapi tidak lama kemudian dia bercerai dengan suaminya. Hingga umurnya lebih 50 tahun pun, Lamijah kelihatan berseri seri bagaikan berusia 35 tahun sahaja. Tatkala inilah Fakeh Sibin yang datang ke kampung itu menemui Simek Bacar meminta melamar Lamijah. Berat sangat hati Simek Bacar mahu menerima permintaan Fakeh Sibin. Bukanlah disebabkan Fakeh Sibin hanya bertukang rumah dengan tidak mempunyai harta benda, tetapi dia tidak mahu lelaki itu menyesal.
Simek Bacar terpaksa temukan Fakeh Sibin dengan Imam Lah supaya dia tidak berkecil hati. Tetapi Fakeh Sibin masih juga berharap supaya dijodohkan dengan Lamijah.
Semenjak tiga tahun dia berhijrah ke kampung itu, tidak siapa pun tahu asal usul Fakeh Sibin. Dia mengaku datang dari Sumatera menumpang kapal arang ke Singapura, sebelum berpindah ke kampung berkenaan setelah mengikut Simek Bacar. Memang Simek Bacar yang mengupahnya bertukang rumah apabila terserempak Fakeh Sibin bertukang di Serting.
"Saya dah lama duda," beritahu Fakeh Sibin perlahan di hadapan Imam Lah. "Hanya sampai di kampung ni saja, saya terpikat pada Lamijah," jelasnya jujur meluahkan rasa yang terpendam di hatinya.
Sudah beberapa kali dia terpandangkan Lamijah sewaktu bertukang membuat rumah Simek Bacar. Sebab itu selepas siap sahaja rumah simek Bacar, dia tidak berpindah ke mana lagi. Memang Fakeh Sibin berhasrat benar mahu beristerikan Lamijah.
"Nanti awak menyesal," Imam Lah ingatkan dia lantas memberitahu mengenai arwah Lebai Soned. Sebelum sepupunya meninggal dunia memang sempat juga Imam Lah memulihkan jiwanya yang dipengaruhi oleh godaan syaitan itu.
"Kalau sudah nasib saya begitu, di manapun saya tak dapat menolak ketentuan Allah," Fakeh Sibin tetap tidak berganjak daripada hasratnya yang tertanam kukuh di dalam hati.
Dalam keadaan serba salah, Simek Bacar terpaksa juga rundingkan perjodohan emak saudaranya dengan Fakeh Sibin. Tersenyum simpul Lamijah apabila diberitahu mengenai Fakeh Sibin mahu melamarnya. Dia tidak peduli siapapun menjadi suaminya, asalkan sahaja lelaki itu jangan cuba menghalang apa sahaja yang mahu dilakukannya.
Selepas berkahwin dengan Fakeh Sibin, dia tidak hiraukan sangat suaminya. Tetapi berdebar juga hati Lamijah kerana Fakeh Sibin tidak sama dengan suami-suaminya sebelum itu. Fakeh Sibin tetap tidur di serambi, selagi Lamijah tidak mempelawanya masuk ke bilik.
Tidak sama dengan arwah Lebai Soned terus sahaja meluru masuk ke bilik sebaik berkahwin malam pertama. Talib Enjut juga merayu-rayu di pintu bilik meminta dibukakan pintu setelah mereka rujuk semula. Tetapi Fakeh Sibin hanya tidur beralaskan bungkusan kain yang dibawanya bersama pada malam perkahwinan.
Sampai ke pagi Fakeh Sibin tetap tidak masuk bilik disebabkan Lamijah tidak mempelawa masuk. Malam ketiga Fakeh Sihin tidak juga masuk tidur ke bilik. Dia terus turun ke telaga mengambil wuduk setelah Lamijah nyenyak tidur.
Hanya malam yang kelima barulah Lamijah sendiri mengajak Fakeh Sibin masuk ke bilik. Saat ini dia merasakan memang Fakeh Sibin tidak sama dengan lelaki lain yang pernah mengahwininya. Sejak lima malam dia berkahwin dengan Fakeh Sibin jelmaan puteri susuk emas sentiasa memuncungkan bibir merenung ke arahnya.
Bersambung...
Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
BY Kisah Seram www.tgoop.com/BercakapDenganJin
Share with your friend now:
tgoop.com/BercakapDenganJin/6348