tgoop.com/Ruang_Aksara/3137
Last Update:
Pernahkah kau benar-benar berlari kepada Tuhan?
Saat kau berasa buntu dengan segala jalan?
Saat kau berasa hampa dengan semua manusia?
Saat kau hanya nampak kegelapan di hadapan?
Pernahkah kau benar-benar kembali berlari kepada Tuhan?
Sekadar tahu kau mahu dan akan kembali berbeza sekali dengan pembuktian penyerahan jiwa kau.
Sedangkan jika merangkak kembali, Tuhan sudah pun berlari menerima kedatangan kita. Apatah lagi jika kita datang dengan berlari, lebih laju dan terbukanya Tuhan menerima kita dalam keadaan apa jua sekalipun. Asalkan kemahuan dan penyerahan kita sebenar-benar kembali.
Kembali dengan mengadu segalanya kepada Dia.
Kembali dengan mengakui segala dosa dan silap kita.
Kembali dengan meminta ampun, istighfar serta tunjukkan kita benar insaf dengan solat taubat.
Kembali dengan menambah extra apa-apa ibadah kita kepada dia yang selama ini sentiasa kurang dan tidak sempurna.
“Tuhan, aku mengaku aku betul silap dan banyak berbuat dosa kepada-Mu. Ampunkan aku, Tuhan. Sama ada yang aku sedar ataupun tidak sedar. Ampunkan aku, Tuhan.”
“Tuhan, aku banyak berdosa dengan manusia lain. Berikan aku kekuatan untuk memohon maaf daripada mereka. Jangan biarkan aku tenggelam dalam keangkuhan keegoan.”
“Tuhan, sungguh aku mahu saja berputus asa dengan semua jalan. Tunjukkan aku jalan.”
“Tuhan, Engkaulah sumber ketenangan, berikan aku ketenangan. Tenangkanlah hatiku yang seperti ribut ini.”
“Tuhan, sungguh aku benci segala perbuatan jahat yang orang lakukan kepadaku. Hanya pada-Mu aku mengadu. Aku maafkan mereka. Tunjukkanlah mereka jalan. Berikanlah mereka kesedaran.”
“Tuhan, aku sangat takut dengan segala kemungkinan yang aku takutkan terjadi di masa hadapan. Engkau Maha Pelindung sejati Aku mohon segala perlindungan dan kekuatan. Mohon Engkau jauhkan aku dari segala kejahatan serta berikanlah aku kekuatan.”
“Tuhan, aku mahukan apa yang hatiku mahukan. Jikalau ini yang terbaik buat diriku, permudahkanlah. Jika ini buruk bagi ku, Kau jauhkanlah. Jadikanlah aku meredhainya. Asalkan aku tidak kehilangan akan Engkau. Cukuplah bagiku.”
“Tuhan, tunjukkan segala yang benar dan haq itu benar. Dan tunjukkan aku segala pembohongan dan kebathilan itu bathil. Hanya Engkau sebenar-benar pembeza haq dan bathil.”
Sekecil-kecil pengaduan kepada Dia bukan lagi kepada manusia, adalah tanda kita benar kembali pada Dia.
Bila kau sudah pun terbiasa mengadu kepada Tuhan, segala apa yang kau mahukan tetapi kau belum lagi meminta, al-Malik, pemilik segala apa yang ada di bumi dan langit secara ajaibnya akan sudahpun diberikan kepada kau.
Semua jalan sentiasa dipermudahkan.
Kekuatan dan ketenangan entah datang dari mana.
Begitulah bezanya jika benar-benar berlari kembali kepada Tuhan. Tidak akan pernah dikecewakan.
Makanya teman, berlarilah kembali kepada Tuhan.
@Ruang_Aksara
BY Ruang Aksara
Share with your friend now:
tgoop.com/Ruang_Aksara/3137