tgoop.com/creepystoryfacts/6853
Last Update:
“Kenapa banyak sangat burung gagak m**i ni, Ustaz?” Aku memberanikan diri bertanya membuka seribu satu persoalan.
Suara aku kedengaran serak, dan pecah dalam keheningan aneh itu.
Ustaz menoleh ke arahku, wajahnya tetap tenang, tetapi senyuman kecil yang terukir di bibirnya memberikan rasa tidak selesa. Dia hanya menggeleng perlahan sebelum menjawab dengan ringkas,
“Hasbunallahu wa ni’mal wakeel, ni’mal maula wa ni’man naseer. Ada sesuatu di sini… InsyaAllah kita akan selesaikan,”
Jawapan Ustaz itu tidak langsung menenangkan aku. Sebaliknya, bulu roma aku semakin meremang. Satu persatu soalan memenuhi benak fikiran aku. ‘Apakah makhluk yang sanggup m**h begitu banyak burung gagak? Atau adakah ini petanda bahawa ada sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di rumah kami?’
Tidak lama kemudian, kami sampai di hadapan rumah. Kereta berhenti, namun enjin masih dihidupkan. Aku mengeluh panjang, cuba meredakan kegelisahan dalam dada. Tetapi ketika aku hendak keluar dari kereta, angin kencang tiba-tiba bertiup. Angin itu begitu kuat sehingga menggoyangkan pokok-pokok rambutan dan durian di sekitar halaman rumah. Daun-daun berterbangan, ranting-ranting bergoyang liar, dan bunyi gemerisik angin yang menghantam dedaunan itu seperti bisikan halus yang menakutkan.
Kami berempat saling berpandangan, wajah masing-masing menunjukkan kebimbangan yang sama. Kak Long mendekatkan dirinya dari tempat duduk belakang, menggapai dan memegang erat tanganku, suaranya bergetar dan bersarang di tekaknya ketika dia bersuara,
“Rasa macam ada sesuatu yang tak kena, kan?”
Aku mengangguk perlahan tetapi lidahku sedikit kelu. Memang betul, suasana di sini terasa lain. Udara yang sebelumnya hanya dingin biasa kini terasa berat, seolah-olah dipenuhi dengan aura gelap yang tak dapat dijelaskan. Hati aku berdebar-debar, seolah-olah kami sedang berada di ambang sesuatu yang buruk.
Ustaz keluar dari kereta terlebih dahulu. Dia berdiri di halaman rumah, memandang ke sekeliling. Angin terus bertiup, dan di kejauhan, aku dapat mendengar bunyi ranting-ranting patah.
“Bismillah. Allahu la ilaha illa huw, al ḥayyul qayyum…” Ustaz berbisik perlahan membaca ayatul Qursi sebelum memulakan langkah ke arah rumah.
Aku, Kak Long dan Kak Lang mengikuti dari belakang, langkah kami berat dan penuh keraguan. Kami perlahan lahan menuju ke arah pintu rumah. Pintu grill rumah kelihatan terkunci rapat dengan mangga padlocknya. Aku menggapai gugus kunci dan membuka pintu grill serta pintu kayu rumah dengan tangan sedikit ketar.
BY creepystoryfacts ! 👻
Share with your friend now:
tgoop.com/creepystoryfacts/6853