tgoop.com/ustazsyamilesa/656
Last Update:
Mencintai hingga menuruti, dicintai hingga diaturi
Semalam saya duduk bersama sahabat-sahabat, berbincang mengenai kisah Abu Ayyub yang menyerahkan nasibnya pada Tuhan hingga diminta oleh beliau untuk meninggal di tanah yang dijanjikan sedangkan sahabat yang lain mahu membawa jasadnya pulang ke Madinah.
Saya menyatakan : Sepertimana Allah telah menetapkan bahawa unta Rasulullah SAW akan berlabuh di hadapan rumahnya, hingga baginda SAW menjadi tetamu berbulan lamanya, demikianlah juga jasadnya apabila telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk berlabuh di Kota Konstantinopel, lalu beliau redha dengan ketentuan takdirnya, bahkan sentiasa mencari sebab nabawi untuk dikuburkan di sana.
"Aku mahu mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik tentera yang digambarkan Rasulullah SAW"
Hakikatnya, perasaannya lebih besar daripada perkataannya. Dalam dirinya adalah memori bersama Rasulullah SAW, yang menjadikan rumahnya sebagai batu asas permulaan kehidupan Rasulullah SAW dalam membina sebuah peradaban yang besar.
Seolah-olah beliau mencari bagaimana mungkin unta itu 'disuruh' oleh Allah SWT untuk berlabuh di rumahnya, sedangkan berapa ramai lagi orang-orang lain yang rumahnya lebih besar, lebih luas, dan rumahnya hanya seringkas mungkin, setingkat di atas dan setingkat di bawah. Bilik yang mungkin cuma 4 x 4m sahaja, tetapi tetap dijadikan sebagai salah satu kesan sejarah yang memahat sebuah kegemilangan.
Benar, hakikatnya apa yang dilalui adalah sebuah persediaan.
Persediaan untuk melakukan satu 'langkah' yang pastinya memerlukan lebih dari sekadar sebuah arahan atau keimanan, tetapi suatu perasaan yang mendalam, yang mencari-cari jawapan bagi sebuah persoalan kewujudan dirinya sendiri.
Dahulu yang ditunjukkan di hadapannya adalah ketetapan Tuhan kepada seekor unta, lalu Rasulullah SAW redha akan di mana sahaja berlabuhnya unta baginda SAW.
Kini, jasadnya adalah unta itu. Dan dirinya di posisi Rasulullah SAW, samada mahu menerima aturan yang telah tersusun cantik, atau memaksa diri meneruskan aturan sahabat yang lain yang bakal membawa jasadnya agar dikuburkan di maqam para sahabat di Madinah, berhampiran dengan Rasulullah SAW.
Benar, pilihan yang sangat sulit. Siapa yang tidak mahu bersama Rasulullah SAW? Siapa yang tidak mahu dikuburkan bersama sahabat Rasulullah SAW?
Benar, sepintas congakan orang awam akan menatijahkan keberbaloian yang pertama iaitu dibawa ke Madinah, walau apa pun harganya.
Tetapi tidak bagi Abu Ayyub Al-Ansori RA, jauh di lubuk hatinya menyatakan bahawa jasadnya ada tugas yang lain. Meskipun terpaksa berjauhan dengan tubuh baginda SAW, beliau menerima takdir dan hikmah Tuhan, sambil tetap diselitkan memori-memori kenangan bersama Rasulullah SAW, iaitu seperti beliau berkata :
"Jika tidak pun jasadku berhampiran dengan Rasulullah SAW, paling kurang di sini aku dapat mendengar derapan kuda yang dikhabarkan Rasulullah SAW".
Kini kuburnya dijadikan mercu tanda sebuah makna kesungguhan, kesabaran, dan kecintaan, kepada sebuah peradaban yang bertahan ratusan tahun lamanya.
Itulah kisah sang pencinta.
Mencintai Tuhan, lalu Tuhan yang mengatur hidupnya.
Mencintai utusan Tuhan, lalu dibawa kenangan dan memori bersamanya hingga ke akhir hayatnya.
Moga Allah merahmatimu wahai Abu Ayyub Al-Ansori.
Moga Allah mewariskan kepadaku ketabahanmu, kesungguhanmu, dan kecintaanmu kepada Rasulmu, Sallallahu alaihi wa sallam.
Wallahua'lam bissawaab.
BY Ustaz Syamil Esa
Share with your friend now:
tgoop.com/ustazsyamilesa/656