tgoop.com/kedaibukuputih/1143
Last Update:
Mencari Alasan Untuk Saudaramu!
Ada satu kata-kata Arab yang dianggap hadith menyebut
التمس لأخيك سبعين عذرًا
Carilah bagi saudaramu 70 alasan.
Ia membawa maksud, sekiranya kita dapati ada kata-kata, perbuatan atau khabar berkenaan saudara kita yang tidak enak, canggung dan bahkan boleh membawa mudarat, maka carilah alasan atau justifikasi dengan takwilan yang baik dari kata-kata, perbuatan atau dengar-dengar berkenaan walaupun sehingga 70 alasan perlu dikemukakan.
Pepatah berbahasa Arab ini menurut ibn Baz, tiada asal. Ia bukan hadith. Tetapi maknanya benar. Memberikan takwilan yang baik terhadap perbuatan dan kata-kata saudara kita adalah langkah awal sebelum kita bertabayun iaitu berjumpa dan mendapatkan penjelasan berikut:
Apa ia benar kata-katamu?
Apa ia benar ia perbuatanmu?
Apa benar percakapan mereka tentangmu begitu?
Apa itu yang engkau maksudkan?
Dan pelbagai lagi pertanyaan tabayun. Namun peluang tabayun tidak segera tiba. Justeru sebelum itu, ada asasnya kita mengemukakan alasan bagi saudara kita sebagai satu bentuk baik sangka dan terbit dari suruhan berlapang dada.
Pelajaran penting ini telah dipusakai dari khalifah kedua islam, Umar al-Khattab r.anhu. Diriwayatkan Umar berkata,
لا تظن بكلمة صدرت من أخيك شرًا وأنت تجد لها في الخير محملًا
Janganlah engkau bersangka buruk terhadap kata-kata yang keluar dari saudaramu sedangkan engkau dapati pada kata-kata itu ada kemungkinan bermaksud baik.
Selain Umar, pelajaran emas ini boleh kita petik dan tekuni dari dialog dalam al-Quran.
Tatkala Nabi Sulaiman dan para tenteranya keluar berkumpul, al-Quran mengkhabarkan:
{ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ }
[Surah An-Naml: 18]
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml", berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari".
Dalam amaran sang semut ini, ada satu mesej baik sangka yang menutup peluang dan kemungkinan buruk sangka yang mungkin terbit dari semut-semut yang lain. Dan kes ini kes berat kerana gerombolan tentera sang Nabi boleh membinasakan semut-semut.
Namun justifikasi dan alasan yang diberikan ialah,
"..sedangkan mereka tidak menyedari..."
Alhamdulillah, alangkah leganya peringatan yang mendamaikan ini.
Jika semut-semut boleh mencari alasan dan uzur untuk para tentera Sulaiman, mengapa tidak dari kita untuk akh yang dicintai dan dikenali hati nuraninya?
Credit
https://www.tgoop.com/muassis
BY Channel Kedai Buku Putih
Share with your friend now:
tgoop.com/kedaibukuputih/1143